Wednesday, June 8, 2011

Si Bongkok Tanjung Puteri: Pahlawan Johor Atau Lanun/Pengganas?


ADA beberapa tokoh misteri yang nama mereka ‘hilang’ dalam lembaran sejarah perjuangan menentang penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu. Walaupun kewujudan mereka suatu ketika dulu memberi sumbangan besar dan mencetuskan kegerunan di jiwa penjajah, kebanyakan tokoh ini tidak disebut dalam mana-mana dokumen sejarah.
 Menyedari pentingnya sumbangan dan kewujudan pahlawan misteri itu didedahkan kepada khalayak untuk diiktiraf sejarah tanah air, ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul Latip Talib, memulakan penyelidikan bagi membongkar rahsia kehilangan mereka.
 “Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang sehingga kini, sejarah perjuangannya masih tidak diketahui ramai pihak,” katanya yang menulis novel sejarah berkenaan pahlawan itu, tahun lalu.
Beliau berkata, tidak seperti tokoh pejuang lain seperti Datuk Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah negara ini tidak pernah mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang British dan sekutunya di Johor.
“Ceritanya bermula apabila British mula menjajah Singapura seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor,” kata Abdul Latip seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang kini semakin hilang dalam lipatan sejarah negara.
Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.
Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.
Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.
Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu Tengku Ali.
Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak. Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung. Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.
Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam senjata tajam.
Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.
Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut.
Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama pengikutnya bangkit menentang.
Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura. Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.
Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya menghapuskan kumpulan Si Bongkok.
Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu.
Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau. Kerajaan Johor dan British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang diserang mereka.
Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.
Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk menyerangnya.
Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang menyerang belas askar diraja itu. Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di tengah lautan.
Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.
Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.
Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.
Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.
Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura.
Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor.
Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar.
Lirik lagu Tanjung Puteri
Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu
Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri
( korus )
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diraja
Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri
Inggeris label pemuda cacat sebagai pengganas
“SELEPAS Si Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu, mayatnya dijumpai seorang penduduk tempatan dikenali Uteh Jantan.
“Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung membawa mayat Si Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan itu dikebumikan di situ secara rahsia,” kata penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri, Abdul Latip Talib.
Beliau berkata, pengebumian itu dilakukan secara rahsia kemungkinan bagi mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad pahlawan yang sememangnya disokong penduduk tempatan.
Katanya, penduduk terbabit juga mungkin khuatir mereka akan ditahan pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad Si Bongkok menyebabkan mereka tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.
                             Pusara Si Bongkok di kaki bukit Tanjung Puteri
Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki bukit Tanjung Puteri dan pengunjung perlu meredah semak dan denai selama setengah jam untuk sampai di sana. Penduduk yang tidak biasa dengan keadaan hutan itu, pasti tersesat dan tidak menemui kubur pahlawan berkenaan.
Sebaik melihat pusara berkenaan pula, perasaan sayu dan pilu menjelma di jiwa tatkala melihat keadaannya yang terbiar tanpa ada usaha untuk memuliharanya. Pusara itu sekadar bernesankan sekeping papan yang sudah reput.
“Mengikut cerita penduduk tempatan, nesan itu diletakkan seorang lelaki pada 23 Januari 1981 selepas dia bermimpi didatangi Si Bongkok yang menyuruhnya menanda pusara pahlawan berkenaan,” katanya.
Abdul Talib berkata, berdasarkan penemuan kubur berkenaan selain cerita mengenai Si Bongkok yang tersebar secara lisan sehingga hampir ke seluruh Johor sehingga kini, maka beliau yakin yang Si Bongkok sememangnya pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah, namanya turut disebut dalam lagu rakyat Johor iaitu ‘Tanjung Puteri’.
Katanya, beliau mula menulis novel sejarah mengenai Si Bongkok sejak tahun lalu bagi memperbetulkan kembali ‘fitnah’ yang dilemparkan terhadap pahlawan itu kononnya beliau adalah lanun dan bukannya pejuang menentang penjajah.
Selain itu, usaha membukukan kisah perjuangan Si Bongkok juga dibuat Abdul Latip bagi membolehkan cebisan sejarah lisan yang tersimpan dalam ingatan orang lama, tidak hilang ditelan masa seterusnya nama Si Bongkok akan dikenang melewati masa.
“Saya percaya ramai pejuang Melayu yang nama mereka hilang daripada lipatan sejarah negara kita dan Si Bongkok adalah seorang daripada pejuang itu; sejarah kita dulu ditulis British menyebabkan ramai pahlawan kita yang menentang mereka dianggap penderhaka dan nama mereka tidak dicatat dalam sejarah.
“Saya berharap supaya sejarah ini boleh diperbetulkan semula dan pihak terbabit perlu tampil mengiktiraf perjuangan Si Bongkok setaraf dengan nama pejuang lain seperti Tok Janggut, Dol Said dan sebagainya,” katanya.
Abdul Latip juga menggesa pihak berkuasa supaya memulihara pusara Si Bongkok sebagai satu daripada warisan peninggalan sejarah yang bukan saja dibanggakan rakyat Johor tetapi rakyat negara ini.
“Saya sendiri sudah pergi ke Tanjung Belungkur untuk melihat sendiri pusara Si Bongkok Tanjung Puteri, keadaannya amat menyedihkan kerana terbiar. Selepas 50 tahun kita merdeka, masihkah kita sependapat dengan penjajah yang melabelkan Si Bongkok itu lanun dan pengganas?” katanya.

Siapakah Al-Hin?


Baru-baru ini saya terbaca dalam 1 forum berkenaan dengan dialog seorang Ustaz dengan 1 makhluk yg tidak dapat dikenali dan di'scan' olehnya. Makhluk ini dipercayai hidup terlebih dahulu dari jin dan manusia. Dikhabarkan mereka ini wujud sekitar 4 juta tahun dahulu. Wallahua'lam. Persoalannya, siapakah mereka yang sebenarnya?

Ikuti dialog diantara Ustaz dengan Al-Hin ini.

Dua minggu yang lalu, saya didatangi sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki di Pusat Rawatan. Pesakitnya adalah anak lelaki mereka.

Dari perbualan sebelum rawatan, si bapa menceritakan bahawa sudah banyak tempat sudah di kunjungi. Boleh dikatakan hampir setiap perawat yang muncul dalam Expose Mistik dan Rancangan Alam Ghaib sudah di bawa. Semuanya belum ditemui penawarnya.

Luahan tersebut membuatkan saya tersenyum. Lantas, saya katakan pada mereka sekeluarga bahawa mungkin 'masih belum ada rasi ubat' . Kalau dah jodoh ubat dengan penyakitnya, insyaallah, sembuh lah penyakitnya..

Simptom gangguan pada pesakit hanya berlaku pada malam hari iaitu ketika waktu bulan mengambang sahaja. Pada waktu tersebut, pesakit akan merenung bulan kemudian menangis. Begitulah yang berlaku setiap bulan..

Maka, saya ambil pendekatan segera dengan 'teknik scan' dan hampa kerana tidak dapat mengesan sebarang jenis gangguan pada lelaki tersebut.. Aiii...hairan sungguh.. lelaki tu nampak normal jer..

Lama saya dok termenung ketika berdepan dengan situasi tersebut, saya teringat pada Allahyarham Tok Ngah ketika berhadapan dengan kes yang hampir sama. Kata beliau, mungkin 'badan' tengah kotor. Akibatnya, konsentrasi tiada.. Kan sunat kalau bersih. Apatah lagi kalau harum semerbak...

Lalu, saya minta izin pada pesakit untuk berehat sebentar. Sebenarnya, saya ingin mandi kerana baru teringat, saya baru saja selesai mengelap kipas syiling sebaik sahaja keluarga pesakit tiba di Pusat Rawatan. Selepas mandi, saya pakai wangian agar diri harum semerbak..

Setelah itu saya ke ruang rawatan untuk menyambung tugas rawatan. Ketika duduk berhadapan pesakit, tiba-tiba...

Pesakit: "Ermm..wanginya... lama dah tak bau macam ni.. Kamu pakai minyak wangi apa ni..?"

Kelihatan suara pesakit berlainan. Maka saya yakin, ketika itu, pesakit sedang kerasukan.

Saya: "Minyak atar 1001 Malam. Tak pernah bau ker?"

Pesakit: "Pernah.. Tapi dah lama tak bau macam ni.. Masa kat Andalusia pernah la.. Harum betul baunya. Boleh bagi aku sikit? "

Saya: "Boleh.. Tapi kena kerjasama la.. Setakat minyak wangi, apalah sangat.."

Seraya itu dia tersenyum dengan kata-kata saya..

Pesakit: "Boleh..tapi aku tak suka orang belagak.. Kalau kamu boleh cakap dengan aku elok-elok, tanya lah apa kamu nak. Dengan nama Allah, aku tak akan tipu.".

Saya: "Ish...tak baik kamu main sumpah-sumpah macam tu.. Nanti makan sumpah baru tahu..Kamu ni Jin Islam ker?"

Pesakit: "Kenapa aku nak takut. Aku cakap jujur la ni.. Memang aku sembah Allah, tapi aku bukan Islam.."

Saya: "Hah...sembah Allah tapi bukan Islam..? Agama apa kamu ni?"

Pesakit: "Agama Monoteisme"

Saya: "Agama apa tu..?"

Pesakit: "Agama yang satu la.. Tuhan hanya satu yakni Allah...Tak sekolah ker?"

*Terkena jugak aku.

Saya: "Kamu jangan main-main pasal agama ni...!..Kang...."

*Masa tu tangan kanan dah diangkat..rasa nak lempang jer...

Pesakit: "Aku tak tipu lah...Aku bukan Jin, Syaitan atau Malaikat..Aku Poppy..Nama aku Mizari"

*Tangan saya tak jadi di angkat. Terasa hendak tahu pula apa cerita berikutnya..

Saya: "Poppy..? Makhluk apa tu..?"

Pesakit: "Wahai hamba Allah...banyak lagi rahsia Allah yang kamu belum tahu.. Bukan semua rahsia boleh dicapai dengan akal manusia.."

Saya: "Ceritakan...aku nak tahu.."

Pesakit: "Aku wujud sebelum kaum jin diciptakan lagi... Sebelum banyak puak kami di binasakan Allah kerana kesalahan kami sendiri.."

Kemudian dia menangis teresak-esak..

Pesakit: "Puak kami dah kurang dari 1000.. Mungkin kerana kesalahan yang kami lakukan, kami tidak diizinkan Allah untuk melahirkan zuriat kami.."..

Terduduk saya mendengar cerita si Mizari... Baru saya teringat akan sebuah buku yang dibaca karangan Isa Dawud.. Cerita yang diberitahu menepati penerangan yang diberitahu dalam buku tersebut..

Saya: " Kalau begitu, betul kah nama golongan kamu ini adalah Al-Hin?"

Seraya itu dia mengangguk..

Pesakit: "Al-Hin adalah nama makhluk.. Kami hidup berpuak-puak.. Aku dari puak Poppy..Ada lagi musuh puak aku iaitu Neondertal. Nama puak lain banyak, tapi aku dah lupa...."

Saya: " Apa yang puak kamu buat sampai Allah murka?"

Dia terdiam sejenak..

Pesakit: "Apa yang kamu tengok kemaksiatan dan kerosakan manusia hari ini, itulah yang kami buat dulu.. Tapi hari ini aku tengok, kerosakan manusia lagi hebat dari apa yang kami lakukan dulu..."

Saya: "Wahai makhluk Allah, aku tiada kuasa untuk lakukan apa pun pada kamu kecuali dengan izin Allah.. Tapi boleh aku tanya, kenapa aku tak dapat 'scan' kau tadi? Mana kau menyorok?"

Pesakit: "Aku tak pergi mana-mana. Memang dari tadi aku dalam badan ni. Jangan kau kecil hati pulak.. Setakat ini, dengan izin Allah, puak aku belum dapat di scan mana-mana perawat pun ketika mereka berubat. Mungkin kerana ada sebab yang kau dan aku sendiri belum tahu kecuali Allah..."

Saya: "Dah tu, sekarang ni kamu boleh bercakap dengan aku..macam mana pulak tu?"

Pesakit: "Itu kerana aku sendiri yang nak bercakap dengan kamu.. Bukan semua tau aku suka manusia...Aku nak duduk dengan kamu boleh? Kalau kamu izin kan la.."

Saya: "Tak payah la...aku selesa dengan sesama manusia.. kamu tak marah kan..?"

Pesakit: "Tak la..buat apa aku nak marah.. Kamu ada hak atas diri kamu.."

Saya: "Erm..boleh kamu bagi sebab..kenapa kamu duduk dengan budak ni?"

Pesakit: "Sebab dia kasi aku duduk dengan dia.."

Dari badan pesakit tersebut, Mizari menceritakan penemuannya dengan budak tersebut ketika dia berjumpa di sebuah pusat rekreasi di Selatan tanahair. Katanya lagi, budak tu tak takut dengan dia..

Cerita tersebut disahkan bapanya. Memang anaknya ada mengikuti kursus kadet di tempat tersebut..

Saya: "Wahai makhluk Allah, aku bukanlah dikalangan orang alim untuk mendakwah kamu. Tapi sudi tak kalau kau masuk Islam?"

Pesakit: "Maaf ya..Aku masih yakin dengan agama ku. La ikra hafiddin kan...?"

Saya: "Memang lah..tapi agama akhir zaman kan Islam..Kalau kamu menyembah Allah, kenapa tidak kamu ikuti agama akhir zaman ni..?Agama yang disuruh dan dijamin Allah..."

Pesakit: "Aku tahu...tapi aku bukan dari Jin dan Manusia.. Tiada satu pun nama kaum aku dalam Al-Quran..."

Lalu di bacakan ayat surah Adz-Dzariyaat:56

Maksudnya:
'Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.'

Pesakit: "Jadi, aku yakin dengan pegangan aku sekarang.. Aku tidak pernah menduakan Allah.."

*Tidak ada apa yang mampu saya katakan padanya. Kelu saya bila mendengar hujahnya..

Saya: "Kalau begitulah kata kamu, tiada apa yang mampu aku katakan lagi.. Tapi, dengan nama Allah, boleh tak kamu keluar dari badan anak ini? Kesian aku tengok mak bapak budak ni.. Kamu tak rasa kesian ker..?"

Pesakit: "Kesian jugak.. Banyak jugak la duit diorang habis pergi berubat.. Demi Allah, aku memang nak keluar, tapi, belum masanya lagi..."

Saya: "Dah tu, bila agak-agak kamu masa tu sampai..?"

Pesakit: "Sekarang..tapi dengan syarat.."

Saya: "Apa syaratnya? Kalau boleh mensyirikkan, aku tak nak la.."

Pesakit: "Aku nak salam kedua mak bapak budak ni..Aku nak mintak maaf sebab susahkan diorang. Lepas tu, aku nak kau doakan agar Allah pendekkan nyawa aku...boleh?"

Saya: "Syarat yang pertama tu insyaallah, boleh (kedua ibu bapa pesakit mengangguk sama).. Tapi, pelik la dengan syarat kedua tu..Kenapa?"

Pesakit: "Ada tak bapak budak ni cerita perangai pelik anak nya ni masa sakit tadi?"

Saya: "Yang mana? Yang suka tengok bulan mengambang tu ker?"

Pesakit: "Yelah...kamu tak nak tahu kenapa aku suka tengok bulan?"

Saya: "A'ah...kenapa?"

Pesakit: "Aku tengah kira umur aku la tu...Kiraan masa aku sama macam kalendar Islam.. Puak kami mana pakai Kalendar masihi..."

Saya: "Oooo..tapi kau tak jawab lagi soalan kedua tu.."

Pesakit: "Sabar lah..maksud aku, aku kira umur untuk tahu hayat aku.. Dah lama sangat aku hidup.. Sunyi betul hidup aku...Aku nak kamu doakan agar Allah pendekkan hidup aku sebab aku dah hidup lama sangat..."

Saya: "Ooo...macam tu..Berapa dah umur kamu?"

Pesakit: "Sikit jer...baru 4 juta 130 ribu tahun.."

Saya: "Mak aiiii...lama nya kau hidup.."

Pesakit: "Betul..sebab tu aku nak kau doakan aku.."

Saya: "Insyaallah, kalau itu yang kau nak...Tapi, aku nak tanya soalan terakhir ni..Boleh?"

Pesakit: "Tadi kata suruh aku keluar...? Ni makin banyak tanya pulak ni..Hah..apa dia?"

Saya: "Boleh tak aku tengok kamu...Rasa nak tengok jer diri kamu tu..."

Pesakit: "Boleh dengan izin Allah...kau baca Surah Al-Kautsar 1000 kali sebelum tidur...Mintak pada Allah nak tengok aku.. Bukan aku yang izin..Allah yang izin.. Sekarang, boleh aku keluar..?"

Saya: "Dipersilakan wahai hamba Allah..Moga kamu tergolong dalam orang-orang yang beriman.."

Sebelum dia keluar, dia mencium tangan kedua ibu bapa pesakit dan meminta maaf pada mereka.. Sekitar 5 minit selepas itu, pesakit tersedar.. Kelihatan penat dan lelah yang dialami akibat tenaga tubuh yang diguna oleh makhkluk lain..

Hanya sebagai syarat asas rawatan, saya bekalkan air dan limau rukyah untuk dibuat mandi dan minuman di rumah.. Pesakit pulang selepas itu.

3 hari kemudian, bapa pesakit menelefon saya dan mengatakan anaknya sihat sepenuhnya.. Dia mengajak saya ke jamuan doa selamat di rumahnya sebagai tanda kesyukuran dan nazar yang diniatkan..

Saya juga telah mengamalkan apa yang dikatakan oleh Mizari.. Alhamdulillah, saya dapat melihat parasnya..

Badannya berbulu putih, berwajah manusia yang tampan dan bersayap... Wallahu'alam.. Mungkin itu mainan mimpi....

Sekian..
 Mungkinkah "angel" yg diimaginasikan oleh orang-orang barat adalah Al-Hin?

Seorang novelis iaitu Ramlee Awang Mursyid pernah menulis dalam sebuah novelnya iaitu "Trilogi Cinta Sang Ratu" tentang golongan Poppy ini. Adakah beliau pernah bertemu atau berinteraksi dengan Al-Hin?

Sehingga sekarang saya masih memikirkan tentang Al-Hin ini? Adakah mereka ini benar-benar wujud?

Wednesday, June 1, 2011

update!!!


Lamenya aku x update!!!

cari cerita baru sebelum update....